Masjid baharu Kampung Lamunin dijangka siap Mei 2027





Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman



TUTONG, Khamis, 5 Februari. - Penduduk Kampung Lamunin dan kawasan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dijangka siap pembinaannya pada Mei 2027.


Sehubungan dengan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu bagi masjid berkenaan diadakan, pagi tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat bersama pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ahli MUIB; Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN); Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Timbalan Setiausaha Tetap KHEU serta pegawai-pegawai kanan dari KHEU dan Kementerian Pembangunan.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Lamunin, Awang Abdul Wafi bin Haji Awang.


Seterusnya, acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan serta diikuti oleh para jemputan khas.


Pada majlis berkenaan, tetamu-tetamu kehormat serta para jemputan turut berkesempatan mendengar taklimat mengenai ciri-ciri reka bentuk bangunan masjid baharu berkenaan yang disampaikan oleh Pegawai Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Dayang Ar. Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd. Nor.


Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Lamunin.


Keseluruhan kapasiti bangunan masjid baharu Kampung Lamunin apabila siap nanti, boleh menampung seramai lebih kurang 1,000 jemaah.


Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk bilik kuliah, bilik Teknologi Maklumat (IT) dan perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, kemudahan tandas dan tempat berwudhu bagi lelaki dan perempuan serta Orang Kelainan Upaya (OKU) di samping kemudahan tempat letak kereta.


Bangunan masjid baharu berkenaan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang 6.739 ekar dengan menggunakan peruntukan di bawah Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang berjumlah BND5,776,214.65.



Close